Memisahkan anak-anak tidur di bilik sendiri bukanlah perkara yang mudah,
tetapi jika betul cara dan kaedahnya, Insya Allah urusan yang bisa
memeningkan kepala ini akan berjaya ibu bapa laksanakan. Jika anda
buntu, jom kita cuba tips-tips dibawah. Moga membantu dan bermanfaat!



Sepakat





Ibu dan bapa mestilah sepakat di dalam hal ini, setiap orang mesti
menyampaikan mesej yang sama dengan kerap setiap hari. Berbual dengan
anak tentang perkara ini setiap pagi selepas mandi, ketika makan, ketika
pergi bersiar-siar, di dalam kereta, sebelum tidurkan anak-anak dan
bila-bila sahaja yang dirasakan sesuai.



Ibu bapa boleh katakan kepada anak-anak :





“Seminggu lagi adik dah 3 tahun, adik dah besar, cantik dan berani, jadi adik kena tidur di bilik sendiri tau…”





“Mulai minggu depan, adik tidur di bilik adik tau, bilik ayah dan ibu ni
bukan lagi bilik adik, nanti kita hiaskan bilik adik cantik-cantik ok?
Adik nak cadar warna apa ye?”





Bila dia melakukan sesuatu secara berdikari seperti makan sendiri, katakan kepadanya:





“Wah! Nampaknya anak ibu dan ayah ni dah besar la… kalau adik tidur
bilik sendiri lagi bagus! Bilik ibu dan ayah tak seronok, dah la tak
cantik,  tak ada mainan pula tu..  katil pun sempit kalau tidur tiga
orang, malam ni adik tidur di bilik adik ye?”





Pendek kata, banyakkan ayat-ayat provokasi dan menanamkan keyakinan
bahawa dia sudah cukup besar dan bersedia untuk tidur di biliknya
sendiri.





Jangan sesekali salah seorang dari ibu atau bapa yang berkata dihadapan
anak yang terlibat seperti : “Eh tak mengapalah dia tidur dengan kita,
bukankah dia masih kecil?” Kata-kata ini akan menjadi modal untuk
anak-anak untuk terus tidur barsama ibu bapa dan usaha untuk memisahkan
anak dari tempat tidur ibu bapa akan menjadi sedikit sukar.




Hiaskan bilik tidur





Jadikan bilik tidur anak satu tempat yang sangat istimewa untuk si
kecil. Pilihlah cadar mengikut warna kesukaannya, dan hiasan-hiasan yang
sepatutnya mengikut kemampuan ibu bapa.




Boleh
juga diletakkan permainan yang bersesuaian, tetapi ELAKKAN daripada
meletakkan televisyen kerana ia akan menyebabkan kita sukar untuk
mengawal aktiviti menonton televisyen anak-anak. Dibimbangi anak-anak
akan menonton televisyen sehingga larut malam sedangkan kita sudah lena
dibuai mimpi.





Pada pendapat saya, tidak perlu kepada hiasan yang mahal-mahal, cukup
sekadar apa yang anak suka seperti ada teddy bear atau anak patung yang
digemari. Di dalam hal ini, banyakkan berbual dengan anak apa yang dia
suka dan cuba hias bilik anak bersama-sama.





Jika ingin membeli keperluan bilik tidur, ajaklah anak bersama untuk
memilihnya, jadi ia akan menjadi ayat penguat kepada ibu bapa untuk
memujuk mereka tidur di atas katil atau cadar yang dipilihnya. Mungkin
boleh dilekatkan juga bintang dan bulan yang bercahaya di dalam gelap di
bilik anak-anak. Jadi anak-anak akan rasa biliknya lebih hebat dari
bilik ibu dan ayah. Pendek kata, gunakan kreativiti anda sebagai ibu
bapa.




Membiasakan diri anak tidur di biliknya





Bila kita dapati anak mengantuk, terus bawa dia masuk ke biliknya.
Jangan tidurkan anak di bilik ibu bapa kemudian baru diangkat ke bilik
mereka. Ini akan melambatkan proses untuk dia merasa selesa untuk
melelapkan mata di bilik mereka sendiri. Tidak kira siang atau malam,
biasakan mereka tidur di bilik mereka sendiri.





Jika mereka menolak untuk masuk ke bilik mereka, gunakan taktik seperti
memancing mereka dengan permainan dan sebagainya. Jika mereka tidak mahu
juga, ibu bapa masuk sahaja ke bilik anak dan baringkan diri di atas
katil mereka.





Jangan sesekali masuk ke bilik ibu bapa kerana rengekan atau tangisan
anak, jika mereka menangis buat tak tahu sahaja. Bila mereka masuk ke
bilik mereka, peluklah mereka dan ajak mereka tidur bersama di atas
katil mereka yang selesa itu.





Apa yang penting, ibu bapa perlulah tegas dalam hal ini, jangan mengalah
jika anak memujuk atau menangis tidak mahu tidur di bilik mereka.
Ingatlah, mereka sedang menguji ketahanan diri anda!




Temankan anak-anak tidur





Aktiviti ini sangat membantu membina keyakinan anak-anak untuk tidur di
bilik sendiri. Sebelum tidur, berbuallah  dengan mereka tentang hari
yang dilaluinya. Bacakan buku cerita, atau ceritakan kepada mereka
cerita yang menarik, jangan pula bercerita cerita seram kepada
anak-anak.





Sebaik-baiknya ceritakan kisah nabi atau kisah-kisah teladan. Mungkin
juga ibu bapa boleh menceritakan cerita rekaan kepada mereka. Sebagai
contoh kisah kucing yang berani tidur di bilik sendiri, kemudian kaitkan
dengan diri mereka. Di dalam hal ini, ibu bapa mestilah kreatif!
Walaupun cerita kita tu macam tak logik, tetapi anak-anak suka apa jua
cerita yang dikisahkan oleh ibu bapa mereka.





Bacakan juga bersama mereka doa sebelum tidur dan surah-surah pendek
seperti Al-Fatihah dan tiga Qul. Katakan kepadanya, walaupun ibu dan
ayah tidak tidur bersama mereka, tetapi Allah dan malaikat ada untuk
menjaga mereka.





Temankanlah  mereka sehingga mereka terlelap. Setelah mereka terlelap,
kucuplah dahi mereka dan katakan kepada mereka sekali lagi bahawa Allah
dan Malaikat sentiasa menjaga mereka.




Jika anak menangis di tengah malam, apa perlu dilakukan





Pada hari-hari awal memisahkan anak-anak tidur dari bilik ibu bapa, saya
pasti kebiasaannya anak-anak akan menangis di tengah malam kerana rasa
takut. Anak-anak mungkin akan mengetuk bilik tidur kita. Jika ini
berlaku, bawa anak semula ke bilik mereka dan tidurkan mereka semula di atas katil mereka. Jangan ajak mereka tidur bersama ibu bapa pula!





Jika setelah seminggu dan anak-anak masih lagi menangis malam, apabila
ibu atau bapa mendengar anak menangis, biarkan sahaja mereka menangis
dalam masa sepuluh minit, jika tidak berhenti menangis juga dalam masa
itu, barulah ibu atau bapa pergi menjenguk mereka (panjangkan masa
menunggu ini dari masa ke masa).





Ibu bapa tidak perlu terus pergi kepada anak-anak kerana perbuatan
begitu akan mengajar anak bahawa jika menangis, ibu atau ayah akan
datang kepada mereka.





Insya Allah jika ibu bapa konsisten, dalam masa seminggu atau dua,
anak-anak tidak lagi menangis apabila tersedar di tengah malam. Mereka
akan berputus asa untuk menangis lagi kerana ia tidak akan mendapat
perhatian dari ibu bapa.





Di dalam soal ini, ibu bapa mestilah kuatkan hati, demi kebaikan
anak-anak kadang-kadang ibu bapa perlu menunjukkan ketegasan mereka.




Fahamkan mereka kenapa dan kenapa





Jika anak sudah berumur 4 tahun ke atas, nyatakan sebab-sebab anak-anak
tidak boleh lagi tidur sebilik dengan ibu bapa. Antara sebabnya ialah:





  • Bilik ibu dan ayah adalah bilik peribadi ibu dan ayah, jadi ibu dan ayah ada aurat yang perlu dijaga.
  • Ajaran
    agama menyuruh anak-anak meminta izin daripada ibu bapa jika ingin
    memasuki bilik tidur ibu bapa pada masa-masa tertentu seperti selepas
    subuh, sewaktu tengahhari dan selepas isyak. Jadi jika anak-anak masih
    tidur sebilik dengan ibu bapa adalah sangat sukar untuk kita mengajar
    anak-anak untuk meminta izin kerana mereka akan merasakan bahawa bilik
    ibu bapa adalah bilik dia juga.
  •  Anak sudah meningkat usia, jadi tidak manis jika masih tidur sebilik








Berilah pujian dan penghargaan





Berilah pujian atau penghargaan
sekiranya anak berjaya tidur sendiri. Jangan tunggu lama, tetapi sebaik
sahaja dia bangkit dari tidur atau ketika ibu atau ayah mengejutkan
anak di pagi hari, peluklah dan ucapkan tahniah atas keberaniannya malam
tadi. Katakan juga kepada anak bahawa anda sangat bangga dengan
keberaniannya itu.





Pujilah dengan bersungguh-sungguh seolah-olah dia telah melakukan
sesuatu yang amat membanggakan anda.  Puji berulang kali, dan berikan
galakan untuk dia tidur di biliknya lagi malam nanti.





Ibu bapa juga boleh memberi hadiah jika anak berjaya tidur di bilik
mereka  dalam beberapa malam contohnya selama seminggu.  Ini akan
menaikkan semangat mereka untuk terus tidur di bilik sendiri. Berilah
pujian dan pernghargaan yang dirasakan sesuai dengan anak anda.





******





Cadangan-cadangan di atas Insya Allah akan berkesan jika ibu bapa
konsisten melaksanakannya. Namun begitu, ia tidak sama jangka waktu
antara anak-anak. Mungkin ada yang hanya mengambil masa seminggu,
mungkin juga mengambil masa berbulan-bulan, apa yang penting ialah ibu
bapa mestilah meletakkan peraturan di dalam rumahtangga dan anak-anak
perlu mematuhinya.





Gunakanlah seluruh kebijaksanaan kita di dalam mendidik anak-anak dan mengasingkan
anak-anak dari tempat tidur ibu bapa merupakan salah satu dari
pendidikan seks di dalam Islam. Kita perlu memandang perkara ini sebagai
satu perkara yang penting. (Untuk mengetahui dengan lanjut
berkenaannya, nantikan artikel akan datang, Insya Allah)





Mudah-mudahan ibu bapa berjaya dan mohonlah kepada Allah agar dimudahkan dalam urusan ini. MOGA BERJAYA!





Wallahua’lam
 

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *