Kredit : susudotmy



Tahukah anda bahawa solat boleh merawat penyakit yang kritikal ?



Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.



               Membongkar Rahsia Solat dari sudut sains kesihatan  
Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.




HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati
setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu
meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Berikut adalah beberapa
hasil kajian yang telah dilakukan berkaitan solat:


AKTIVITI OTOT – Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas


Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa
melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila
selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan
gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman
ringan.



“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung
kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman
dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,”
katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika
dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif
terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan
untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.





ISYARAT OTAK – Ng Siew Chok



Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia
yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh
diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis
alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur
isyarat otak daripada aktiviti elektrik.



“Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh
keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz)
menunjukkan keadaan tenang,” katanya



Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang
dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas
bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.



“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika
sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya
bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,”
katanya.



Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.



Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.



Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak
untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya
dalam aktiviti harian.


KOMPOSISI TUBUH – Dr Fatimah Ibrahim



Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.



Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh,
tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang
menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan
darah.








“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi
di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit
seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal
lain,” katanya.



Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh
terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali
sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk
dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara
sujud dan tahyat akhir.



Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.



Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah
mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara
bersendirian.



“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh
bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh
manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas
tubuh.



“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika
solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan
cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,”
katanya.



Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.



Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.



Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21
hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan
tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang
meningkat serta paras glukos rendah.



Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat
sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan
senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan
solat.



Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran
saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang
belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.



Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat
selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya
berkurangan.



“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit
pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja
sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam
juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti
gerakan solat,” katanya.



Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau
lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat
takut.



Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan
ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.



“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan
ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas
melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan,
sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.



Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak
tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau
kira-kira 30 minit



Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar
sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini,
kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling
rendah adalah ketika berbaring.



“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan
paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan
posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.



Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk
melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.
Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh
memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan
senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman
selama 30 minit setiap hari.





(Artikel ini dipetik daripada tulisan
Ziauddin Sharuddin dalam laman web berita harian, untuk panduan dan
rujukan umat Islam berhubung manfaat dan fadhilat solat )

Related Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *